Langkau ke kandungan utama

Dalam marah Felda di Bera, ada sinar untuk Harapan



Laporan: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/16433/
Menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), The Malaysian Insight menerbitkan siri laporan mengupas kerusi-kerusi marginal. Dalam bahagian pertama fokus kerusi Parlimen Bera, kami mengupas bagaimana peneroka Felda menjadi kelompok penting di kawasan Pahang Tengah ini.

ROHANA Mohd Isa, seorang ibu tunggal, tinggal di sebuah rumah kayu yang sudah bergoyang jauh di pedalaman Felda Mayam. Setiap hari dia berdoa agar lantai rumahnya tidak roboh bersama dia dan empat anaknya.
Pendapatannya tidak sampai RM1,000 sebulan daripada pegangan kelapa sawit arwah suaminya. Makanya, dia memohon bantuan Felda untuk mendirikan sebuah rumah baru daripada konkrit sebelum rumahnya sekarang menyembam bumi.
Tetapi pihak pengurusan Felda hanya boleh membangunkan setengah rumah itu. Apabila dia bertanya kepada mereka bagaimana tentang baki yang setengah lagi, kata mereka, semua bantuan untuk keluarga di penempatannya sudah dibekukan.
Pihak pengurusan di penempatan itu tidak pula memberikan alasan kenapa bantuan itu dibekukan.
"Dapur, tandas dan bilik belakang semuanya sudah roboh. Felda buat balik dengan dinding konkrit.
"Tetapi kami risau dengan sebelah depan dan bilik tidur sebab papannya dah tua. Risau kalau-kalau tak tahan," kata wanita 51 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
Apa yang dialami oleh Rohana ini satu contoh bagaimana masalah kewangan Felda melumpuhkan cara bagaimana ia menguruskan penempatan peneroka di seluruh negara.
Aktivis pembangkang yang mengkaji Felda seperti Wan Shahrir Abdul Jalil mendakwa masalah aliran tunai Felda, sejak ia menyenaraikan syarikat perladangan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), sudah tempias kesannya pada kehidupan kumpulan peneroka.
Akaun dan kenyataan Felda menunjukkan FGV tidak mempunyai dana yang cukup untuk menguruskan penempatan peneroka dan ladang-ladang, kata Wan Shahrir kepada The Malaysian Insight.
Peneroka mengadu kalau bab membayar hasil tuaian, Felda kini sudah jadi tidak menentu. Tahun lepas, dua kali sebulan. Tahun ini, sekali sebulan.
Mansor Osman, peneroka dari Teranti di Bera, berkata pernah sekali dia menunggu lebih sebulan untuk dapat duit hasil tuaiannya.
Mereka juga mengadu tentang beban hutang misteri yang terus beranak-pinak walaupun Felda tidak pernah berhenti memotong pendapatan mereka.
Suara-suara tidak puas hati ini terdengar dalam beberapa pertemuan dengan peneroka dan anak-anak mereka di Bera. Menuju pilihan raya umum akan datang, parti yang menang kerusi itu tentulah parti yang mengemukakan pelan paling meyakinkan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Deposit tetap BN
Bera mempunyai 14 penempatan Felda yang terbentang di kawasan yang luasnya satu setengah kali ganda Kuala Lumpur.
Setiap penempatan itu ada antara 350 hingga 480 keluarga peneroka yang membentuk sejumlah besar pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, Kemanyan dan Teriang.
Pada PRU13, setiap penempatan menyumbang anggaran 1,500 undi untuk kerusi Parlimen Bera, kata bekas calon PKR, Zakaria Abdul Hamid.
Dalam erti kata lain, lebih kurang 21,000 daripada 50,997 undi yang terkumpul bagi kerusi Parlimen Bera pada PRU13 datangnya dari kawasan Felda. Angka itu dikutip berdasarkan maklumat yang ada pada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Pembangkang hanya mendapat antara 20 hingga 30% undi Felda pada PRU13, kata Zakaria.
"Kebanyakan orang dalam penempatan saya pun pada masa itu tidak mengundi saya," kata Zakaria tertawa. Beliau anak peneroka dari Felda Bukit Mendi di Teriang.
Zakaria kalah tipis dengan majoriti 2,143 kepada calon Barisan Nasional, Ismail Sabri Yaakob yang sekarang ini menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, dan juga ahli Majlis Tertinggi Umno.
Kebanyakan sokongan untuk Zakaria datang daripada pengundi kaum Cina yang membentuk 32% daripada jumlah keseluruhan pengundi, tetapi memberi 83% undi kepada pembangkang.
BN pula, terbalik. Ismail dapat tujuh daripada 10 undi daripada peneroka Felda dan pecahan yang sama daripada pengundi Melayu di luar bandar Bera.
"Pakatan Rakyat (gabungan pembangkang dulu) boleh menang kalau saya lebih 4% undi Melayu pada masa itu," kata Zakaria.
Takut dan hutang
Zakaria percaya peralihan undi peneroka Felda daripada BN seperti itu masuk akal berlaku pada PRU14 kerana pelbagai masalah yang membelit agensi itu.
Satu lagi alasan ialah sejumlah besar undi Felda datangnya daripada anak-anak peneroka, yang juga dikenali sebagai Generasi Kedua Felda.
Generasi kedua ini, yang berumur antara 30 hingga 50 tahun, dianggarkan jumlahnya 60% daripada keseluruhan pengundi Felda di Bera. Ibu ayah mereka baki lagi 20%. Selebihnya, generasi ketiga 20%.
Berdasarkan keputusan pilihan raya 2013, aktivis PKR percaya pembangkang boleh menang di Bera sekiranya ia mengekalkan sokongan sedia ada daripada peneroka dan menokok 5% undi beralih angin di Felda.
Peneroka generasi kedua seperti Ramli Ahmad mendakwa kawan-kawan sebayanya lebih lantang dan kritikal tentang masalah Felda, berbanding keluarga mereka.
Ini kerana generasi kedua macam dialah yang terpaksa menanggung beban hutang yang dikutip oleh ibu ayah mereka, kata Ramli dari Felda Sebertak.
"Hutang saya ada RM147,000. Jumlah itu tak nampak macam nak turun walaupun Felda potong bayaran saya setiap kali tuai," katanya yang berusia 55 tahun itu.
Peneroka dari Sebertak, Teranti dan Mayam juga menyuarakan keresahan yang senada kepada The Malaysian Insight, walaupun cerita mereka mungkin berbeza-beza.
"Felda kata saya hutang mereka RM80,000 tetapi apabila saya minta penyata dengan butir pembayaran, mereka tak mahu beri," kata Mansor Osman.
Satu lagi rungutan yang lazim terdengar ialah bagaimana Felda sudah memotong pelbagai bantuan yang selama ini ada untuk kemudahan peneroka.
Rumah Rohana yang separuh siap di Felda Mayam itu satu daripadanya. Abu Bakar Din, peneroka di Sebertak, pula mendakwa bantuan khairat kematian pun kena potong.
Khairat untuk kematian ibu bapa asalnya RM10,000 untuk setiap keluarga, kata Bakar.
"Ada pernah jadi anak-anak Felda belanja RM3,000 untuk pengebumian. Apabila mereka pergi minta baki RM7,000, pejabat kata duit itu untuk bayar hutang mak ayah mereka."
Walaupun bahang marah di Felda itu cukup hangat, Zakaria dan aktivis PKR yang lain tidak pasti apakah kemarahan itu akan diterjemahkan jadi undi untuk pembangkang.
Ketika Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad singgah di Bera pada Mei lalu untuk program ceramah yang disasarkan khusus kepada kumpulan peneroka, beliau menarik kehadiran sehingga 6,000 orang – sesuatu yang tidak pernah dapat dilakukan oleh pembangkang di kawasan itu.
Tetapi suhu marah peneroka ini berubah selepas Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan lima insentif untuk peneroka pada hujung Julai lepas.
Insentif itu termasuk bayaran khas RM5,000, hapus kira hutang, pinjaman perumahan RM40,000 dan geran untuk tanam semula.
"Sebulan selepas lawatan Najib, apabila kami cuba buat program dengan (Presiden PH) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) di salah sebuah penempatan, tidak ada orang hendak jadi tuan rumah.
"Kami pergi lima rumah barulah dapat satu keluarga yang sudi jadi tuan rumah. Banyak yang takut, kalau nampak baik dengan pembangkang mungkin tak akan dapat insentif." – 29 September, 2017.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Senarai Tanah Rancangan Felda |Media Komuniti Penduduk Felda SeMalaysia

Berikut ialah senarai tanah rancangan  FELDA  di seluruh Malaysia. Felda Wilayah  Segamat Bil Nama Rancangan Felda Nama Pengurus No Telefon No Fax 1. Felda Ayer Hitam Dzainal Bin Rahman 07-7596940 - 2. Felda Bukit Batu Md Rahim Bin Selamat 07-6511025 - 3. Felda Bukit Permai Zainal Bin Lateh 07-7511217 07-7511217 4. Felda Bukit Serampang Raya Bin Rahman 06-9776021 06-9776021 5. Felda Bukit Tongkat Mohd Razali Bin Mohd Yusof 07-7863359 07-7863359 6. Felda Chempelak Md Sallah Bin Ahmad 07-9236266 07-9236266 7. Felda Chemplak Barat Mohd Timyati Bin Sajiran 07-9236264 07-9236264 8. Felda Kahang Barat Mohamed Waffa Bin Wahid 07-7867188 07-7867188 9. Felda Kahang Timur Md Said Bin Ahmad 07-7866199 07-7866199 10. Felda Kemelah Shahadan Bin Awang 07-9451233 07-9451233 11. Felda Layang-layang Osman Bin Mohamad 07-7559170 07-7559170 12. Felda Lenga Samsubaha Bin Jantan 06-9711414 - 13. Felda Maokil 01 Kamarulzaman Bin Nordin 07-9191600 07-9191600 14. Felda Ma

Felda Teloi Kanan Kedah

Sebuah lagi rancangan felda telah diujud di utara tanah air.Negeri Kedah Darul Aman.Matlamat kerajaan mengujudkan Rancangan felda ini adalah dengan beberapa tujuan pada masa tersebut.Diantaranya ialah menaikan tahap sosial ekonomi orang Melayu.Memberi perluang kepada orang memiliki tanah,membina satu sistempenempatan yang bersistemmatik.dgn yang demikian memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan serta maklumat kepada rakyat.pada masa tersebut juga kerajaan menghadapi masaallah keselamatan,kerana pada masa itu pengganas kominis masih bermaharaja lela di kawasan hutan belantara.Dengan penebangan dan pembagunan tanah yang bersekala besar akan memudah dan mengecilkan pergerakan kominis pada masa itu.Mendidik satu masyarakat baru supaya berpendidikan tinggi.Pembagunan yang terancang pada masa itu terpaksa di susun oleh Perdana Menteri ketika itu ialah allahyarham Tun Hj Abdul Razak. Hampir 3000 hektar tanah terpaksa di buka di daerah Baling.lokasi bersempadanan Baling dan Kuala Muda(Su

Logo Felda dari awal penubuhan sehingga sekarang | Media Komuniti Penduduk Felda SeMalaysia

Logo Felda dari tahun 1956 hingga 2017